April 10, 2011

Bila saya tidak cantik

Bila saya tak cantik, 
Tidak ada mata-mata liar yang memandang saya tidak berkedip. 
Tidak ada pula lelaki yang menggilai saya dan menyayangi saya semata-mata kerana mengagumi kecantikan yang saya ada. 
Cukuplah lelaki yang menyayangi saya kerana diri saya yang tidak sempurna. 

Bila saya tak cantik,
Tidak ada pula wanita-wanita yang cemburu akan cantiknya saya.
Tidak ada pula yang memusuhi atau hasad dengki kerana cantiknya saya.
Tidak pula terlintas rasa bongkak dan berbangga dalam hati dengan kecantikan yang saya ada.
Alhamdulillah, kurang dosa saya.

Bila saya tidak cantik,
Tidak ada pula rasa ingin mendedahkan rambut, lurah, betis, peha.
Saya masih punya rasa malu dan malu itu separuh dari iman.
Alhamdulillah, kurang lagi dosa saya.

Bila saya tidak cantik,
Tidak pula saya mengalami dilemma seorang gadis yang ingin memilih satu daripada 1000 jejaka; yang ternyata semuanya mengagumi kecantikan saya.
Tidak pula saya berlaku curang kerana ternyata hanya seorang lelaki yang sudi menerima diri saya apa adanya.
Walaupun saya tidak cantik, dia tetap sayangkan saya.
Ya, berkurang lagi dosa saya.

Bila saya tak cantik, 
Tidak pernah pula saya cemburu atau mengeluh melihat perempuan-perempuan lain yang jauh lebih cantik.
Cukuplah dengan ucapan ALHAMDULILLAH dengan apa adanya saya.

ALHAMDULILLAH.
Saya bersyukur bila saya tidak cantik.