February 16, 2019

Cakna logo pada label makanan, minuman atau ubatan

Di Malaysia terdapat pelbagai jenis pensijilan atau pengiktirafan dalam industri makanan, minuman dan ubatan. Ini bagi memastikan kualiti, status halal, keselamatan dan kebersihan sesuatu produk itu terjamin. Pensijilan ini hanya akan diberikan setelah sesebuah syarikat melalui beberapa proses saringan termasuk permohonan dan pendaftaran, proses pengauditan, pemantauan dan penguatkuasaan. Pensijilan boleh dikeluarkan sama ada daripada badan kerajaan mahupun swasta. Walaupun begitu, tidak semua sijil dari badan swasta diiktiraf oleh kerajaan Malaysia.

Pensijilan yang paling popular dalam industri makanan antaranya pensijilan HALAL, MeSTI, HACCP,  GMP dan ISO 9001:2015. Pensijilan ini dipamerkan melalui logo-logo yang terdapat pada label atau pembungkusan produk. Namun demikian, adakah rakyat Malaysia cakna dengan logo-logo pensijilan ini? Mari kita cakna logo.

1. HALAL

Skim Pensijilan Halal Malaysia merupakan skim dibawah tanggungjawab JAKIM. Skim ini terbahagi kepada produk makanan, minuman dan makanan tambahan; premis makanan atau eating establishment; barangan gunaan kosmetik dan dandanan diri; rumah sembelih; farmaseutikal dan logistik. Di Malaysia, kerajaan hanya mengiktiraf pensijilan Halal yang dikeluarkan oleh pihak JAKIM dan beberapa badan sahaja dari luar negara (rujuk senarai penuh 'The Recognised Foreign Halal Certification Bodies and Authorities'). Untuk penggunaan logo halal di Malaysia, pihak JAKIM telah mewajibkan semua industri terlibat menggunakan logo seperti di atas.

Oleh itu, logo halal selain dari logo di atas perlu dielakkan. Jika tiada pilihan atau berada di luar negara, bolehlah pilih logo halal lain merujuk pada senarai ini 'The Recognised Foreign Halal Certification Bodies and Authorities'.

February 15, 2019

Ciri-ciri produk farmaseutikal berdaftar dengan KKM

Untuk mengetahui sama ada sesuatu produk farmaseutikal (termasuk supplemen kesihatan atau perubatan tradisional) yang berada di pasaran telah berdaftar dan diluluskan oleh KKM (National Pharmaceutical Regulatory Agency) adalah dengan melihat pada dua ciri ini pada pembungkusannya iaitu:
  1. Nombor Pendaftaran MAL
  2. Label Hologram Meditag 
Semua ubatan berdaftar perlu mempamerkan Nombor Pendaftaran MAL yang dimulai dengan perkataan MAL, 8 digit nombor dan diakhiri dengan huruf A, X, T atau N (Contoh: MAL20195674T) yang membawa maksud berikut:
A: Ubat yang mengandungi racun terkawal
X: Ubat yang tidak mengandungi racun terkawal / OTC
T: Ubat tradisional
N: Suplemen kesihatan
Contoh gambar label hologram meditag yang betul:

February 12, 2019

Vaksin Anti-Typhoid dan Kronologi Kisah Sedih Mary Typhoid

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mewajibkan semua pengendali makanan termasuk pekerja asing dan tempatan untuk mendapatkan suntikan vaksin anti-typhoid. Vaksin ini bertujuan mengelakkan pengendali makanan dijangkiti bakteria Typhoid yang boleh mencemari makanan seterusnya menyebabkan penularan pada orang awam.

Typhoid adalah jangkitan bakteria Salmonella Typhi dalam intestin dan salur darah manusia yang boleh menyebabkan demam, cirit-birit dan muntah-muntah. 25% kes telah membawa kepada kematian apabila tidak dirawat dengan segera. Jangkitan typhoid selalunya disebabkan oleh makanan atau minuman yang telah tercemar dengan bakteria Salmonella Typhi. Kes ini selalunya terjadi di kawasan yang penduduknya kurang mengamalkan kebersihan tangan dan boleh juga disebarkan melalui pembawa sihat (healthy carrier) yang tiada simptom jangkitan.

Sejarah Typhoid dan kronologi kisah sedih Mary Mallon


1. Mary Mallon si tukang masak

Mary Typhoid atau nama sebenarnya Mary Mallon dilahirkan pada tahun 1869 di Ireland dan berhijrah ke United States sekitar tahun 1883. Mary telah diambil bekerja sebagai tukang masak oleh Charles Henry Warren, seorang banker yang kaya. 

Warren telah menyewa sebuah rumah di Oyster Bay di Long Island sempena musim panas. Dan semasa percutian tersebut, tiba-tiba 6 dari 11 orang yang berada di rumah tersebut mengalami demam Typhoid. Risau wabak itu menghalang Warren dari bercuti di rumah musim panas itu lagi, Warren mengambil inisiatif untuk mengupah George Sober yang merupakan Sanitary Engineer untuk menyiasat mengenai wabak yang menimpa keluarga mereka. Pada mulanya, Sober berpendapat bahawa kerang adalah punca kepada wabak demam Typhoid yang menimpa keluarga Warren, namun sangkaanya salah apabila tidak semua yang berada dalam rumah tersebut makan kerang.