February 12, 2019

Vaksin Anti-Typhoid dan Kronologi Kisah Sedih Mary Typhoid

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mewajibkan semua pengendali makanan termasuk pekerja asing dan tempatan untuk mendapatkan suntikan vaksin anti-typhoid. Vaksin ini bertujuan mengelakkan pengendali makanan dijangkiti bakteria Typhoid yang boleh mencemari makanan seterusnya menyebabkan penularan pada orang awam.

Typhoid adalah jangkitan bakteria Salmonella Typhi dalam intestin dan salur darah manusia yang boleh menyebabkan demam, cirit-birit dan muntah-muntah. 25% kes telah membawa kepada kematian apabila tidak dirawat dengan segera. Jangkitan typhoid selalunya disebabkan oleh makanan atau minuman yang telah tercemar dengan bakteria Salmonella Typhi. Kes ini selalunya terjadi di kawasan yang penduduknya kurang mengamalkan kebersihan tangan dan boleh juga disebarkan melalui pembawa sihat (healthy carrier) yang tiada simptom jangkitan.

Sejarah Typhoid dan kronologi kisah sedih Mary Mallon


1. Mary Mallon si tukang masak

Mary Typhoid atau nama sebenarnya Mary Mallon dilahirkan pada tahun 1869 di Ireland dan berhijrah ke United States sekitar tahun 1883. Mary telah diambil bekerja sebagai tukang masak oleh Charles Henry Warren, seorang banker yang kaya. 

Warren telah menyewa sebuah rumah di Oyster Bay di Long Island sempena musim panas. Dan semasa percutian tersebut, tiba-tiba 6 dari 11 orang yang berada di rumah tersebut mengalami demam Typhoid. Risau wabak itu menghalang Warren dari bercuti di rumah musim panas itu lagi, Warren mengambil inisiatif untuk mengupah George Sober yang merupakan Sanitary Engineer untuk menyiasat mengenai wabak yang menimpa keluarga mereka. Pada mulanya, Sober berpendapat bahawa kerang adalah punca kepada wabak demam Typhoid yang menimpa keluarga Warren, namun sangkaanya salah apabila tidak semua yang berada dalam rumah tersebut makan kerang.


2. Mary Mallon pembawa wabak

Sober kemudian menyiasat mengenai Mary Mallon si tukang masak. Sober mendapati Mallon baru bekerja dengan Warren beberapa minggu sebelum wabak Typhoid menimpa keluarga mereka. Setelah dikaji sejarah pekerjaan Mallon sejak tahun 1900, tujuh keluarga dimana Mallon pernah bekerja sebagai tukang masak sebelum ini dilaporkan mengalami kes sama dimana 22 orang telah dijangkiti wabak ini dan seorang telah meninggal dunia.

Doktor berpendapat bahawa Mallon adalah punca kepada penyebaran wabak tersebut akibat tidak menjaga kebersihan tangannya sebelum mengendalikan makanan. Namun Sober hairan bagaimana makanan yang dikendalikan Mallon boleh tercemar dengan Salmonella Typhi sedangkan makanan telah dimasak pada suhu yang tinggi. Sober kemudian menemui jawapan dari salah satu pencuci mulut yang disediakan oleh Mallon iaitu ais krim peach - dimana buah peach telah dipotong menggunakan tangannya yang tidak dibasuh yang kemudian dicampur ke dalam adunan ais krim sebelum disejukbekukan. Akhirnya Sober berjaya merungkai misteri wabak ini dan yang pertama memperkenalkan istilah "healthy carrier" (pembawa sihat) di New York.

3. Kuarantin dan rayuan pembebasan

Berikutan hasil siasatan Sober, New York City Health Department telah menahan Mary Mallon pada tahun 1907 dan mengkuarantin dan menempatkan dia di sebuah tempat isolasi di North Brother Island yang hanya ditemani seekor anjing. Mallon pernah berkata "Saya sendiri tidak pernah mengalami demam Typhoid seumur hidup saya dan sentiasa sihat, kenapa saya perlu dibuang dan diasingkan seperti seorang pembawa malang?"

Pada tahun 1909 Mallon telah menyaman New York Health Department, namun usahanya gagal kerana 120 dari 163 sampel najisnya didapati positif bakteria Salmonella Typhi. Pada waktu tersebut, tiada seorang pun yang cuba menerangkan kepada Mallon akan keadaan dirinya sebagai "pembawa sihat" (healthy carrier) dimana dia adalah perumah (host) dan pembawa bakteria namun imun terhadap bakteria tersebut. Malah ada pula yang mencadangkan agar hempedunya dibuang, yang sudah tentu Mallon tidak akan bersetuju berbuat demikian. Berbagai ubat telah dicuba, hexamethylenamin, lexative, urotropin, namun semua gagal.

Pada tahun 1910, komisioner kesihatan yang baru iaitu Ernst Lederle bersetuju membebaskan Mallon dengan syarat Mallon perlu berjanji tidak akan bekerja sebagai tukang masak lagi.

4. Mary Mallon mungkir janji

Pada tahun 1915, wabak demam typhoid menular lagi di sebuah hospital di Manhattan dimana seramai 25 pekerja telah dijangkiti dan 2 orang meninggal dunia. Hasil siasatan mendapati penularan wabak ini berpunca daripada seorang tukang masak bernama "Mary Brown" yang tanpa mereka sedari rupa-rupanya adalah Mary Mallon. Jabatan Kesihatan telah kehilangan jejak Mary Mallon sejak pembebasannya. Setelah bebas dia masih lagi aktif memasak di hotel, restoran dan beberapa institusi lain. Sekurang-kurangnya 122 kes demam typhoid dan 5 kematian dikaitkan dengan Mallon.

Dan lebih kurang 3000 kes wabak typhoid menyerang penduduk New York yang berkemungkinan disebabkan oleh Mallon. Mereka berpendapat mungkin lebih banyak jangkitan dan kematian yang disebabkan oleh Mallon kerana dia banyak menggunakan nama samaran sepanjang menjadi tukang masak.

Setelah penangkapan semula, Mary Mallon kemudian dikuarantin dan ditempatkan semula di tempat isolasi di North Brother Island.

5. 26 tahun Mary Mallon dikuaratin di tempat isolasi

Mary Mallon telah menghabiskan hayatnya di tempat isolasi selama 26 tahun. Walaupun beratus atau mungkin beribu pembawa sihat asymptomatic yang berlegar-legar dan bebas di New York, namun tanpa keadilan Mary Mallon sahaja yang dihukum dan diasingkan.

Dia telah ditakdirkan untuk memasak hanya untuk dirinya sehinggalah nafasnya yang terakhir pada 11 November 1938.



Kesimpulan dan isu etika

Imunisasi terhadap Salmonella Typhi belum lagi ditemui sehinggalah tahun 1911 dan rawatan antibiotik masih belum wujud sehinggalah tahun 1948. Terdapat banyak spekulasi mengenai layanan New York Health Department terhadap Mary Mallon yang dianggap tidak beretika. Pihak New York Health Department yang sepatutnya bekerjasama dengan Mallon sebaliknya telah menghukum dan mengkuarantin Mallon dan menjadikannya tidak ubah seperti tikus makmal. Mallon telah menjadi mangsa undang-undang dimana pihak kesihatan sibuk menjalankan ujian keatas dirinya tetapi tiada masa untuk menerangkan kepadanya akan signifikan menjadi pembawa sihat.

Pada pandangan anda, adakah Mary Mallon layak diperlakukan sedemikian rupa? Adakah pengorbanan Mary Mallon dikira perlu demi kesihatan manusia sejagat sehinggalah vaksin dan antibiotik dicipta? 

Apa-apapun cita-cita Mary hanyalah ingin menjadi tukang masak.

0 Comments: