February 16, 2019

Cakna logo pada label makanan, minuman atau ubatan

Di Malaysia terdapat pelbagai jenis pensijilan atau pengiktirafan dalam industri makanan, minuman dan ubatan. Ini bagi memastikan kualiti, status halal, keselamatan dan kebersihan sesuatu produk itu terjamin. Pensijilan ini hanya akan diberikan setelah sesebuah syarikat melalui beberapa proses saringan termasuk permohonan dan pendaftaran, proses pengauditan, pemantauan dan penguatkuasaan. Pensijilan boleh dikeluarkan sama ada daripada badan kerajaan mahupun swasta. Walaupun begitu, tidak semua sijil dari badan swasta diiktiraf oleh kerajaan Malaysia.

Pensijilan yang paling popular dalam industri makanan antaranya pensijilan HALAL, MeSTI, HACCP,  GMP dan ISO 9001:2015. Pensijilan ini dipamerkan melalui logo-logo yang terdapat pada label atau pembungkusan produk. Namun demikian, adakah rakyat Malaysia cakna dengan logo-logo pensijilan ini? Mari kita cakna logo.

1. HALAL

Skim Pensijilan Halal Malaysia merupakan skim dibawah tanggungjawab JAKIM. Skim ini terbahagi kepada produk makanan, minuman dan makanan tambahan; premis makanan atau eating establishment; barangan gunaan kosmetik dan dandanan diri; rumah sembelih; farmaseutikal dan logistik. Di Malaysia, kerajaan hanya mengiktiraf pensijilan Halal yang dikeluarkan oleh pihak JAKIM dan beberapa badan sahaja dari luar negara (rujuk senarai penuh 'The Recognised Foreign Halal Certification Bodies and Authorities'). Untuk penggunaan logo halal di Malaysia, pihak JAKIM telah mewajibkan semua industri terlibat menggunakan logo seperti di atas.

Oleh itu, logo halal selain dari logo di atas perlu dielakkan. Jika tiada pilihan atau berada di luar negara, bolehlah pilih logo halal lain merujuk pada senarai ini 'The Recognised Foreign Halal Certification Bodies and Authorities'.


2. MeSTI


Skim pensijilan MeSTI (Makanan Selamat, Tanggungjawab Industri) diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia atas usaha membimbing premis pengilangan makanan membangunkan dan melaksanakan program keselamatan makanan. Sebagai pengguna bijak kita juga boleh pastikan terdapat logo MeSTI pada produk makanan yang dibeli untuk memastikan keselamatan produk itu telah terjamin.

Melalui skim pensijilan MeSTI ini juga, pihak KKM menawarkan pensijilan terus  (fast track) pensijilan HACCP dan GMP. 

3. HACCP

HACCP (Hazard Analysis, Critical Control Point) merupakan pensijilan di bawah tanggungjawab Bahagian Kawalan Keselamatan dan Kualiti Makanan (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani) bertujuan memastikan sesebuah premis pengilangan makanan telah mengenalpasti, menaksir dan mengawal bahaya yang signifikan terhadap keselamatan makanan. Bahaya yang dimaksudkan termasuk bahaya fizikal, mikrob mahupun kimia yang boleh menjejaskan kualiti dan keselamatan makanan.

Selain logo di atas, logo berikut juga digunapakai oleh pengusaha yang telah mendapat pengiktirafan dari SIRIM QAS.

4. GMP

GMP (Good Manufacturing Practices) juga merupakan pensijilan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dari Bahagian Kawalan Keselamatan dan Kualiti Makanan terhadap premis pengilangan makanan bagi memastikan elemen-elemen Amalan Pengilangan yang Baik telah diamalkan dan dikekalkan sekaligus menjamin keselamatan dan kualiti makanan.

Selain logo di atas, logo berikut juga digunapakai oleh pengusaha yang telah mendapat pengiktirafan dari SIRIM QAS.

5. VHM


VHM (Veterinary Health Mark) merupakan pensijilan di bawah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Kementerian Pertanian Asas Tani Malaysia. Pensijilan ini bertujuan memastikan rumah sembelih dan loji pemprosesan produk berasaskan haiwan  (ayam, itik, lembu dsb) memenuhi keperluan minima 'Hygiene and Sanitation', kualiti dan keselamatan makanan melalui penekanan GMP dan HACCP.

6. ISO 9001:2015 

Pensijilan ISO 9001:2015 (Quality Management System) dikeluarkan sama ada oleh SIRIM QAS atau mana-mana badan swasta lain bagi memastikan sesebuah organisasi mempunyai Sistem Pengurusan Kualiti yang baik sekaligus menggambarkan organisasi tersebut berupaya menghasilkan produk atau perkhidmatan yang memenuhi kehendak pengguna dan undang-undang.

Selain pensijilan ISO 9001:2015, terdapat pensijilan lain yang biasa digunakan seperti ISO 22000 Food Safety Management, ISO 14000 Environmental Management System, ISO 18001 Occupational Safety and Health Management System dan sebagainya.


7. Buatan Malaysia

KPDNKK memperkenalkan logo 'Buatan Malaysia' atas inisiatif kerajaan dalam kempen menggalakkan rakyat Malaysia menyokong dan membeli barangan buatan tempatan. Pengilang yang tertakluk dalam akta 'Industrial Co-ordination Act 1975' sahaja yang layak menggunakan logo ini.


Kesimpulan:
Sebagai pengguna dan umat Islam yang bijak, pastikan anda membeli barangan yang mempunyai sekurang-kurangnya ada logo Halal selain logo di atas. Selain memeriksa tarikh luput dan harga, dengan memeriksa logo juga banyak membantu kita dalam membuat pemilihan bijak sebelum membeli sesebuah produk makanan, minuman dan ubatan. Semuanya boleh dilakukan hanya jika kita cakna akan logo-logo pensijilan di Malaysia.

Apa lagi logo atau pensijilan lain yang biasa anda lihat selain logo di atas? Mari kongsikan.

Baca : Ciri-ciri produk farmaseutikal berdaftar dengan KKM

0 Comments: